Kelebihan Ramadan
Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada
seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji
Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan
keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan
diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
Kelebihan
bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang
dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan
darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul
Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping
sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat
sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah
:
(Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah
menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat
(darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian
alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai
malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api
neraka, atau dibacakan :
(Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami
dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman,
Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa
syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun
kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup
angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam
syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga
yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan
nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas
puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang
hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini
namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis,
inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah
pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat
Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim
daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan,
lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad
akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga
kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
Pada
malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam
turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke
bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya
600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam
Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke
barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu
memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar
beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk
beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama
mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit
fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah
berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan
Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada umat
Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka,
diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan
dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan
ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak
bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
Apabila pada malam
akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya
Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah
mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang
kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai
umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang
raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan
mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke
tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah
balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab
malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa
Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari
puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah
keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai
segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan
kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu
dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga
700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya
yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala
fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah
bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah
syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang
mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada
orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan
dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan
orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi
pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau
segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan
dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada
dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti
pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
Puasa menurut segala yang disuruh
dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan
bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
Barang
siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap
langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah
Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya
indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah
memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari
keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya ,
seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin,
Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir
miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu
kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat
baginya. (Al-Hadith).
Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap
sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah
didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat,
75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam
matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
Pada hari
Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang
berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh
Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan
dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak
membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan
berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
Orang mukmin yang tidur dalam
bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil
meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah
Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
- Apabila dia berdiri maka berdoalah
hamparannya : (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan
permaidani tebal kepadanya di dalam syurga)
- Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
- Apabila memakai kasut, berdoalah kasut (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
- Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)
- Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)
- Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya: ( Wahai Tuhanku
cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)
Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu
muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu
muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku ,
ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang
berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)
Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi
hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti
memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat)
mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan
ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala
sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali,
teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
"Bahawa di dalam syurga
terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat
dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya
Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik
percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang
sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang
manusia banyak tidur." (Al Hadith)
"Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
"Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
"Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya
seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang
sedikitpun ." (Al Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada
seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan
daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah
(berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan
yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga
berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap
tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam
syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah,
di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya
terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata
bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
Sabda
Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan
mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta
tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan,
mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani)
(Al-Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu
syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang
yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700
kebajikan, dibina rumah baginya di dalam syurga daripada yaqut merah
indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang
merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya
hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah
mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta
ampun baginya 70 000 malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari (Al
Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan
Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas
segala bulan (Al Hadith)
Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan
Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan
segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
Sabda Nabi (s.a.w) :
Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah
tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal
ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
Apabila berakhir bulan
Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling
mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan
yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan
yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya
malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada
hamba hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang
lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan
termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit
dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan
berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala
malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ?
Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab,
sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat,
maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?!
(Al-Hadith)
Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya
padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah.
Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam
Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia,
hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam
mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir
maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak ,
dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang
dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan
kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar,
mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam
hidupnya dunia dan akhirat.
Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan
kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang
malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar,
rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya
(AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada
dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).
No comments:
Post a Comment